Saturday, September 9, 2017

Agong ‘Kecek Kelate’ Tegur Teks Titah Panjang


Agong ‘Kecek Kelate’ Tegur Teks Titah Panjang

  in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

PADA kelaziman, amat jarang untuk mendengar Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V bertitah dalam dialek Kelantan sejak bersemayam di Istana Negara pada 13 Disember tahun lalu.

Baginda yang terkenal amat mesra rakyat itu sebaliknya dilihat hanya bertitah dalam bahasa Melayu standard ketika menghadiri sebarang majlis rasmi peringkat persekutuan termasuk lawatan diraja ke mana-mana negeri setakat ini.
Namun sesuatu yang tidak dijangka berlaku apabila Seri Paduka bertitah selepas mengurniakan darjah persekutuan kepada 103 penerima sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di ibu negara pada Sabtu.
Sultan Muhammad V pada akhir titah ucapannya tanpa segan silu bertutur sebaris ayat dalam dialek Kelantan hingga menyebabkan mereka yang hadir di Balairong Seri tersenyum selain ada tertawa kecil mendengarkannya.
Baghu ni balik Kelate lamo seminggu,pelek sikit kecek ni,” titah baginda yang bermaksud baru-baru ini Seri Paduka pulang ke Kelantan selama seminggu sempena Hari Raya Aidiladha dan agak pelat membaca teks itu.
Titah spontan Sultan Muhammad V itu mungkin merujuk kepada teks disampaikan agak panjang dan mengambil masa hampir 10 minit sehingga mengakibatkan ada hadirin berasa letih setelah berada di situ sejak awal pagi lagi.
Situasi berkenaan juga dapat disaksikan oleh jutaan penonton di seluruh negara yang mengikuti secara langsung majlis itu disiarkan menerusi stesen TV1 RTM dalam slot khas selepas program bual bicara Selamat Pagi Malaysia.
Walau apa pun, baginda juga kelihatan tersenyum bersahaja selepas melihat reaksi hadirin yang terpinga-pinga dan mungkin menujukan perkara berkaitan teks titah itu kepada pihak Istana Negara sendiri untuk tindakan susulan.
Ini merupakan penampilan julung kali Sultan Muhammad V dalam majlis khas tersebut dan juga kali pertama tarikh sambutan Hari Keputeraan diubah untuk sepanjang lima tahun pemerintahan baginda. – Mynewshub.cc/HAA
Nota: Titah Sultan Muhammad V bermula pada sekitar masa rakaman 2:03:00.

2 comments: